Politik Kandang

Politik Kandang

Image
Politik Kandang ’ – George Orwell (diterjemahkan oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi)

ISBN   : 9789674304249
Penerbit  : Institut Terjemahan & Buku Malaysia
No. Panggilan : PR6029.R84 P65 2014 fic
Tahun diterbitkan  : 2014
Muka surat  : 150
URL efind  : https://efind.ump.edu.my/cgi-bin/koha/opac-detail.pl?biblionumber=71673
Sebelum anda memulakan pembacaan, terlebih dahulu saya ingatkan. Buku ini tiada penamat yang gembira, sekurang-kurangnya buat kita, warga kelas pekerja.

Politik Kandang (tajuk asal : Animal Farm) ialah satu satira politik yang menceritakan tentang pemberontakan binatang di Ladang Manor; bermula dengan bersatunya mereka untuk menyingkirkan keluarga Manor dari ladang itu, kepada penindasan oleh para babi yang mereka angkat sebagai pemimpin.

Buku ini ialah alegori kepada Revolusi Rusia 1917 dan Era Stalinisme yang menyusul selepas itu, di mana ia diterjemahkan melalui perebutan kuasa di antara dua ekor babi sebagai watak utamanya, iaitu Snowball dan Napoleon.

Namun begitu, sebelum sempat saya menyatakan sokongan pada Snowball yang lebih pintar dan penuh karisma, saya sempat menangkap satu mesej yang penulis terapkan secara halus pada awal-awal cerita, bahawa mereka berdua itu tidaklah berbeza sangat. Walau apapun, yang terutama tetap ialah perut mereka dahulu. Cuma Snowball, jikalau hendak dibandingkan dengan Napoleon, bolehlah dikatakan, dalam Bahasa Inggerisnya, the lesser evil. Tetapi tidak mustahil juga jika semua ini hanyalah persepsi saya cuma.

Sepanjang buku ini kita akan dapat melihat moral para babi yang semakin membobrok, dan betapa tidak masuk akalnya politik versi Napoleon (yang disampaikan melalui Squealer, si Menteri Propaganda) yang mabuk kuasa. Kita akan mentertawakan kelucuan itu, dan kemudian barangkali pada satu masa nanti, bakal mentertawakan diri kita sendiri pula.

Namun begitu, walaupun mesejnya agak berat, Politik Kandang ialah sejenis bacaan yang ringan. Bacalah, anda tidak akan rugi. Serta ingatlah, kebodohan akan sentiasa memudahkan anda ditindas dan dimanipulasi.

Untuk versi yang lebih bernuansa tempatan, anda boleh baca Tikus Rahmat, karya Hassan Ibrahim.
Image
Ulasan buku oleh:
En. Nik Ahmad Nasyrun Bin Nik Abd Malik,
Pembantu Pustakawan

Cetak   Emel