Tulang2 berserakan
“Tulang2 berserakan” – Usman Awang
ISBN : 9789833742004 (hbk.)
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
No. Panggilan : PL5138 .U85 T85 2006 fic
Tahun diterbitkan : 2006
Muka surat : 290 p.
URL efind : https://efind.ump.edu.my/cgi-bin/koha/opac-detail.pl?biblionumber=84935&
Ringkasan buku oleh: En. Zaiful Bahari Bin Baharum , Pembantu Pustakawan Kanan
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Inilah satu-satunya novel yang ditulis oleh pengarang Usman Awang sebagai penyair dan Sasterawan Negara yang ketiga. Saya memilih untuk membaca dan menilai tentang sebuah buku yang mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi terutama berkaitan dengan era insurgensi dan penentangan terhadap ideologi komunis di tanah Melayu. Walaupun telah tersemat didalam lipatan sejarah, tetapi era ini memberi satu pengajaran yang amat bernilai dalam pembinaan Negara Malaysia.
“Tulang-tulang Berserakan” hasil karya Saterawan Negara Dato’ Usman Awang. merupakan sebuah novel separa autobiografi yang mengisahkan pengalaman Dato’ Usman awang melalui watak Leman yang berkhidmat sebagai polis hutan ketika pergelutan antara Tanah Melayu dan penjajahan British menentang gerakan bersenjata oleh Komunis pada tahun 1948. Dalam prakata, kita diterangkan segala kronologi sejarah Malaysia daripada zaman pendudukan Jepun sehinggalah undang-undang darurat diperkenalkan hingga tahun 1960. Ia sangat membantu pembaca dalam memahami penceritaan Usman Awang dengan lebih jelas kerana latar belakang masa dan tempat serta situasi ketika itu dirasai dan ditempuhi sendiri oleh penulis.
Novel ini sangat ringkas dan bahasanya mengalir bersahaja, mudah dan seronok dibaca. Ringkasnya, novel ini menceritakan sebuah pasukan polis yang ditubuhkan dengan anggota seramai 40 orang dan ditempatkan di Melaka. Mereka memantau dan menyaman kesalahan orang awam yang berlaku di Melaka. Selain Leman, antara watak yang dilihat berperanan besar dalam novel ialah Mahmud, Majid, Mamat, Ujang dan Wak Stop. Masing-masing memiliki kehidupan yang tersendiri; penuh suka dan duka. Beliau menggambarkan betapa kehidupan anak bangsanya ketika itu hidup dalam kesusahan dan serba kekurangan. Leman juga berminat dalam bidang penulisan. Setiap perkara yang berlaku disekelilingnya dijadikan bahan penulisannya. Di dalam novel ini penulis merakamkan kezaliman dan kekejaman peperangan contohnya perpisahan dikalangan ahli keluarga serta kematian dipihak anggota bersenjata meskipun dipihak Komunis. Dikisahkan juga hibanya seorang ibu apabila anaknya seorang anggota polis dibunuh oleh Komunis. Kehibaan itu digambarkan oleh penulis apabila Leman dan sahabatnya menghantar jenazah rakannya kekampung untuk disemadikn. Didalam babak yang lain juga dikisahkan usaha pihak bersenjata berusaha menawan kubu kuat komunis di sebuah rimba.
Secara umumnya novel ini bertemakan kemanusiaan. Kita jarang-jarang mempertemukan watak Leman dalam dunia realiti. Malah, kita sendiri mungkin tidak cukup memiliki sikap terpuji seperti dalam diri Leman. Beberapa babak dalam novel ini menunjukkan betapa Leman memiliki sifat kemanusiaan dan tidak pernah mementingkan diri. Kemanusiaan tidak terhad antara manusia sahaja tetapi terhadap binatang dan alam sekitar juga. Leman dilihat sangat menyayangi haiwan apabila memarahi seorang mata-mata yang tidak membenarkan seorang budak kecil membawa anak anjing kesayangannya setelah diperintahkan keluar dari perkampungan. Leman juga mampu merasai derita yang dihadapi orang lain walaupun dianggap kecil dan remeh. Selain itu, Mahmud yang menendang dan menyeksa tawanan komunis juga telah ditegur oleh Leman kerana baginya tawanan yang sudah menyerah kalah, tidak patut dipukul lagi. Rasa belas kasihan menguasai hatinya.
Kesimpulannya, Kesedihan, simpati dan empati penulis digarapkan dengan sepenuhnya dalam novel ini. Saya sebagai generasi baharu merasa amat simpati dan kagum dengan kepayahan generasi terdahulu yang berjuang mempertahankan tanah air dari serangan Komunis. Saya percaya naskhah ini mampu menaikkan semangat dan kesedaran generasi muda bahawa perjalanan menuju kemerdekaan amat jerih dan memerlukan semangat yang tinggi cintakan negara untuk mempertahankannya.
Anak Belanda dari Melaka,
Makan haruan di kedai Nyonya,
Sukarnya ayahanda menggapai merdeka,
Ayuh berdiri mempertahankannya.