Mencari keberkatan dalam perjalanan
“Mencari Keberkatan Dalam Perjalanan” – Siti Zaimah Ab. Rahman, Hanafi Mohamed
ISBN : 9789678604062 (pbk.)
Penerbit : Karya Bestari @Karangkraf
No. Panggilan : BP 190.5.T73 Z35 2012
Tahun diterbitkan : 2012
Muka surat : 210 p.
URL efind : https://efind.ump.edu.my/cgi-bin/koha/opac-detail.pl?biblionumber=74951&
Ringkasan buku oleh: Pn. Noor Azura Binti Omar, Pustakawan Kanan
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Buku ini adalah mengenai pengertian perjalanan kehidupan manusia dalam mencari keredhaan ALLAH SWT. Perjalanan hidup manusia bermula dari alam roh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan sehinggalah ke alam akhirat merupakan satu perjalanan yang panjang untuk menentukan sejauh mana ibadah dan ketaatan kita sebagai hamba yang akhirnya layak menerima ganjaran syurga kelak. Perjalanan yang mematuhi adab dan syarat yang ditetapkan semestinya akan mendapat balasan yang setimpal di dunia sehingga ke akhirat.
Buku ini adalah panduan kepada para musafir supaya perjalanan yang dilaksanakan tidak sia-sia. Menurut Imam Al-Ghazali perjalanan itu ada dua iaitu pertama perjalanan secara zahir dengan anggota sama ada di darat, laut dan udara iaitu meninggalkan rumah dan kedua perjalanan dengan hati kepada mengenal sifat-sifat dan perbuatan Allah yang Maha Esa. Buku ini mengandungi 11 bab dan setiap bab menceritakan konsep perjalanan, adab-adab perjalanan, perjalanan yang digalakkan dalam Islam, perjalanan Haji dan Umrah, perjalanan menuntut Ilmu, perjalanan ibadah di masjid, perjalanan menziarahi orang sakit, perjalanan bersilaturahim, perjalanan menziarahi kubur, perjalanan mencari rezeki yang halal dan perjalanan berjihad di jalan Allah Swt.
Buku ini sesuai dibaca di pelbagai peringkat usia di dalam menambah ilmu pengetahuan. Gaya penceritaan diselang selikan dengan ayat dari firman Allah dalam Al-Quran dan sabdaan Nabi Saw bagi menambahkan lagi impak kefahaman pembacaan berkenaan sesuatu penerangan berkaitan. Penulis mengguna perkataan yang ringkas dan mudah difahami oleh pembaca.
Sesungguhnya alam yang diciptakan ini adalah luas, indah dan penuh dengan keajaiban untuk dinikmati oleh manusia. Seharusnya kita tidak melepaskan peluang untuk sentiasa bermusafir dengan berbagai tujuan bagi mendapatkan ibrah di sebalik setiap perjalanan sama ada perjalanan itu mudah atau susah menyeronokan atau sebaliknya. Kita adalah penentu kepada setiap perjalanan yang hendak dilakukan dengan harapan perjalanan itu diredhai Allah SWT.