Permata Aurorius

Permata Aurorius

'Permata Aurorius '- Ahmad Patria Abdullah

ISBN : 9789836215802
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
No. Panggilan: PL5139.A36 P47 1987 fic
Tahun diterbitkan : 1987 (Edisi ketiga, 2015)
Mukasurat: 218
Url Efind : https://efind.ump.edu.my/cgi-bin/koha/opac-detail.pl?biblionumber=82929

Pengulas :
En. Nik Ahmad Nasyrun Nik Abd Malik, Pembantu Pustakawan
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Image
“Rizal telah diheret oleh ahli sihir Merkia ke dunia ajaib dan serba misteri Aurora. Di Aurora Rizal digelar Artakus, individu terpilih yang dijanjikan oleh Kitab Id. Pahlawan yang akan menumpaskan makhluk kegelapan Herakos dan bala tenteranya Morrok yang ingin menghancurkan Aurora. Namun untuk berbuat demikian, terlebih dahulu Rizal/Artakus harus merampas permata Aurorius daripada genggaman Herakos.”

Permata Aurorius ialah buku pertama (daripada sembilan) epik fantasi Saga Artakusiad garapan Ahmad Patria Abdullah. Seklise-klise plotnya, saya rasa tidaklah melampau sekiranya saya menganggap siri ennealogy Saga Artakusiad ialah Lord of the Rings Malaysia, manakala Ahmad Patria Abdullah ialah jawapan kita terhadap J.R.R Tolkien. Saya diperkenalkan kepada buku keluaran 1987 ini ketika masih bersekolah rendah, dan buku inilah yang menjerumuskan saya ke dalam genre fantasi sehinggalah sekarang.

Hampir 30 tahun selepas itu, saya mengambil keputusan untuk melawat kembali buku yang telah mengubah hidup saya ini, untuk mengetahui sama ada ia boleh mencetuskan keterujaan yang sama seperti kecil-kecil dulu. Jawapan saya ialah masih ya, dan tidak. Masih ‘ya’ dari segi world building yang dibina dengan teliti sekali, rekaan watak secara keseluruhan, dan jalan ceritanya. Sudah ‘tidak’ dari segi perkembangan watak utamanya; transisi daripada seorang remaja biasa kepada perwira perkasa Artakus yang terlalu straight forward dan tidak melibatkan pergelutan dan dilema moraliti yang signifikan, babak percintaan yang kekok dan agak tipikal novel percintaan picisan, pihak musuh yang senang sangat ditipu dan ditewaskan berkali-kali, serta ‘kenapa begitu’ dan ‘kenapa begini’ yang terlalu banyak melintas dalam kepala sepanjang pembacaan.

Namun bila difikirkan balik, segala kerengsaan yang menjenguk hati saya itu ada asasnya. Saya membaca kembali buku ini ketika sudah menjadi seorang ayah, manakala buku ini ditulis Ahmad Patria ketika dia berumur 17 tahun. Dia kemudian menyiapkan 5 buku lagi dalam masa lebih kurang 5 tahun selepas itu. Saya pada julat umur itu, masih terlalu banyak mengarutnya.

Walaupun begitu seingat saya, seiring dengan penghasilan buku-buku seterusnya, gaya penulisannya berdikit-dikit menjadi semakin matang. Sebagaimana saya membesar dengan ahli sihir berjanggut putih, pedang ajaib, naga legenda, jin pembelot, jembalang ganas, pahlawan cahaya dan raksasa kegelapan dalam dunia Aurora, Ahmad Patria juga semakin dewasa dengan lenggok naratif dan gaya penulisannya.

Pesan saya, jika anda ingin membaca genre fantasi tempatan, mulalah dengan buku ini (kemudian sambung lagi sehingga ke buku kesembilan). Saya berani jamin, di dalam konteks buku fantasi berbahasa Melayu, anda takkan pandang buku lain dah.

Cetak   Emel