Program ‘Moh Peka KKP Perpustakaan UMPSA’  tingkatkan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja

Program ‘Moh Peka KKP Perpustakaan UMPSA’ tingkatkan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja

Pekan, 17 Oktober 2024 – Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perpustakaan telah menganjurkan program bertemakan ‘Moh Peka KKP Perpustakaan UMPSA’ dari 15 hingga 17 Oktober 2024 di Perpustakaan UMPSA Pekan dan Gambang. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran warga universiti terutamanya warga perpustakaan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) melalui pelbagai aktiviti dan perkongsian pengetahuan.

Aktiviti-aktiviti menarik yang telah dijalankan termasuklah Mini Booth KKP Perpustakaan yang dijalankan pada 15 dan 16 Oktober di lobi Perpustakaan UMPSA Pekan dan Gambang. Mini booth ini menyediakan maklumat berguna tentang KKP dan bahan bacaan interaktif kepada pengunjung. Booth ini mendapat sambutan terutama di kalangan pelajar yang ingin tahu lebih lanjut mengenai aspek keselamatan di perpustakaan.

Pada 16 Oktober, program diteruskan dengan Ronda Mata Sihat Mini dari kedai kacamata Efkeyo Optometry dan FS Optical, yang menawarkan pemeriksaan mata percuma kepada warga UMPSA di lobi Perpustakaan Pekan dan Gambang. Pemeriksaan mata ini menarik perhatian ramai yang mengambil peluang untuk mendapatkan nasihat penjagaan mata dari pakar optometri yang berpengalaman.

Image
Image
Image

Selain itu, Kuiz KKP Perpustakaan yang diadakan sepanjang dua hari pada 15 dan 16 Oktober turut memeriahkan suasana program. Kuiz ini menguji pengetahuan staf dan pelajar tentang keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, sekaligus menambah pengetahuan peserta melalui soalan yang disediakan.

Kemuncak program adalah OSH Talk: Perlindungan untuk Semua – Pentingnya Keselamatan dan Gaya Hidup Sihat di Tempat Kerja pada 17 Oktober, yang disampaikan oleh Puan Nurul Nadia Ummira Binti Abu Bakar, Penolong Pengarah JKKP Negeri Pahang. Sesi ini berlangsung di Lounge Eksekutif Perpustakaan Pekan serta disiarkan secara langsung di Facebook Perpustakaan UMPSA, membolehkan lebih ramai warga kampus menyertai dari jauh.

Program ‘Moh Peka KKP Perpustakaan UMPSA’ berjaya memberi pendedahan dan kesedaran mendalam kepada para peserta mengenai pentingnya keselamatan dan gaya hidup sihat di tempat kerja.

Image
Image

Disediakan oleh:

haryati

Wan Nurulhuda Wan Zakaria
Penyelaras JKKP Perpustakaan UMPSA

 

Disemak oleh:

Amelia2Cik Amelia Hasan,
Pustakawan


Cetak   Emel