38 orang sertai Bengkel Keyboarding Skills: Fast and Furious - 26 Ogos 2024

38 orang sertai Bengkel Keyboarding Skills: Fast and Furious - 26 Ogos 2024

Pekan, 26 Ogos 2024 - Unit Pengurusan Ilmu (UPI) telah menganjurkan Bengkel Keyboarding Skills: Fast and Furious. Seramai 38 orang telah menyertai bengkel ini termasuk staf dari pelbagai jabatan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) dan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS). Bengkel selama satu hari tersebut berlangsung di Makmal Komputer, Perpustakaan UMPSA Pekan.

Bengkel Keyboarding Skills: Fast and Furious ini telah disampaikan oleh Puan Norhasdalina binti Hasim dan Cik Rohaiza binti Mohamad Idaris. Kedua-dua penceramah merupakan pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Selangor (UniSEL).

Objektif bengkel ini adalah agar semua peserta dapat meningkatkan kemahiran menaip dengan fokus pada ketepatan dan kelajuan serta memperkenalkan teknik menaip sentuh. Bengkel ini juga diharap dapat membina lebih keyakinan peserta dalam setiap kerja yang dilakukan. Selain itu, peserta juga diharap berjaya menaip tanpa perlu melihat papan kekunci seterusnya berjaya menjimatkan masa dalam melakukan kerja.

Dalam dunia pendidikan universiti yang serba pantas, kecekapan dan produktiviti adalah kunci utama. Di situlah penaipan sentuh digunakan, ia bukan sekadar kemahiran malah suatu keperluan untuk perkembangan kerjaya.

Pada sesi awal bengkel, peserta diajar tentang ergonomik dan posisi menaip yang betul. Penceramah bijak memanipulasi situasi dengan menyelitkan selingan kaedah senaman dan aktiviti regangan bagi mengelakkan tekanan ketika proses menaip. Peserta diperkenalkan kepada papan kekunci dan teknik asas menaip sentuh bermula dengan latihan Home Row Key.

Image
Image

Sesi petang diteruskan dengan latihan kelajuan dan ketepatan. Peserta diminta menaip dengan menggunakan teknik asas menaip sentuh tanpa melihat skrin (blind screen) berpandu kepada teks yang disediakan. Ujian masa turut dilakukan bagi menguji kecepatan dan ketepatan menaip ketika melihat dan tanpa melihat skrin.

Bagi memudahkan praktikal latihan menaip, peserta diperkenalkan dengan laman “10fast fingers” (https://10fastfingers.com/). Di laman ini, peserta boleh memilih tetapan mengikut tahap kelajuan dan kesukaran menaip. Catatan masa diambil dan beberapa orang peserta terpantas menerima saguhati daripada pihak penganjur.

Menurut Cik Nurul Nadia Binti Mazlan dari Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UMPSA, bengkel ini memberikan beliau banyak pengalaman dan ilmu baru dari segi teknik menaip yang betul.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya dan saya dapati banyak ilmu baru yang saya dapat pada hari ini. Teknik-teknik yang diajar perlu sentiasa dipraktikkan untuk lebih cekap”, Dr. Asmida Binti Ideris, pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia Dan Proses, UMPSA.

Secara keseluruhan, semua peserta berpuas hati dengan semua yang diajarkan sepanjang sesi Bengkel Keyboarding Skills: Fast and Furious ini. Sesuai dengan namanya, diharapkan semua peserta mendapat manfaat dan dapat mempraktikkan teknik menaip sentuh di dalam kerja masing-masing. Semoga kemahiran ini berjaya meningkatkan kualiti dan kompetensi kerjaya peserta.

Image
Image

Disediakan oleh:


Pn. Norsaini Abdul Samat,
Pembantu Pustakawan Kanan

Disunting oleh:

Amelia2Cik Amelia Hasan,
Pustakawan Kanan


Cetak   Emel