Travelog wartawan Islam

Travelog wartawan Islam

'Travelog wartawan Islam'- Roslan Hamid

ISBN : 9789673610228
Penerbit: Kemilau Publika Sdn Bhd
No. Panggilan: PN5449.M3 R67 2011
Tahun Diterbitkan: 2011
Mukasurat: 238
Url Efind : https://efind.ump.edu.my/cgi-bin/koha/opac-detail.pl?biblionumber=55128

Pengulas :
Cik Rosfadilla Mohamad Zainun, Penolong Pustakawan
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Image
Kali pertama membaca buku Travelog Wartawan Islam karya Roslan Hamid ini, cukup untuk membuat kita berfikir sejenak tentang tugas kewartawanan. Sering digambarkan sebagai tugas yang penuh dengan liku dan cabaran, keterbatasan masa yang sering mengejar setiap dateline dan keputusan yang perlu diambil untuk berkongsi berita samada melanggar etika moral atau sebaliknya. Namun, di sebalik itu semua masih ada cabaran besar yang perlu dikuti iaitu cabaran sebagai wartawan muslim yang berpegang akan janji bahawa kerja itu sebagai satu ibadah. Inilah cabaran yang penulis lembarkan di dalam naskah setebal 238 muka surat ini.

Buku yang mempunyai 16 buah bab ini dimulai dengan perkongsian penulis tentang pengalaman beliau semasa bekerja di akhbar Berita Harian. Dari tugas sebagai pemberita kepada penyunting untuk akhbar Harian Metro hinggalah dilantik sebagai Pengarang Luar Negara seawal usia 32 tahun. Penulis berkongsi dilema tentang persoalan konsep bekerja sebagai ibadah yang diterapkan seawal beliau bekerja. Adakah hasil titik peluh sebagai wartawan dianggap halal sedangkan akhbar menyiarkan gambar artis yang tidak menutup aurat, iklan nombor ekor dan berita yang tidak benar yang tidak selari dengan ajaran Islam. Sebagai seorang wartawan, tiada istilah ‘tidak’ untuk setiap arahan yang dikeluarkan bagi mendapatkan berita walaupun tugasan itu di premis syarikat arak atau tugasan menunggu prospek sumber berita yang memakan masa berjam-jam lamanya. Jika pergi solat akan terlepas berita dan pasti akan mendapat maki hamun dari editor. Dilema sebagai wartawan yang dikongsi penulis ini seolah-olah tiada penghujungnya.

Pemikiran sekular dalam syarikat-syarikat akhbar turut dipandang sinis oleh penulis. Mereka mengeluarkan majalah agama yang menonjolkan kebaikan dan kemurniaan agama tetapi dalam masa yang sama juga mengeluarkan bahan media yang bertentangan dengan nilai murni yang dipegang oleh agama. Keputusan penulis untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan daripada Pegawai Agama NSTP, Ustaz Ahmad Abdul Majid saat dilantik sebagai Pengarang Luar Negara Berita Harian dikritik hebat sehinggakan di ejek, “ini akhbar nasional bukan akhbar Islam”. Namun alah bisa tegal biasa, itulah prinsip yang beliau pegang dengan tidak menyiarkan berita yang bertentangan dengan kehendak Islam namun lebih fokus kepada berita tentang kezaliman ke atas umat Islam di seluruh dunia.

Dunia kewartawanan menjadi medan perjuangan untuk menguji seorang muslim samada taat atau tidak. Kesibukan sebagai wartawan sehinggakan tiada masa untuk belajar al-Quran dan solat berjemaah menjadi asbab penulis tekad untuk meletakkan jawatan. Disindir oleh Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd yang ingin melihat sejauh mana beliau boleh pergi kerana beranggapan ramai kakitangan yang telah berhenti namun datang semula untuk bekerja. “Saya berserah kepada Allah”, jawapan pendek namun cukup besar pengertian kepada seorang hamba Allah untuk percaya rezeki itu datangnya daripada Yang Maha Kuasa.

Kepuasan dalam penulisan kini diabadikan penulis dalam lembaran coretan sebagai penulis sepenuh masa. Pengalaman yang dikongsi diharap dapat memberikan pengetahuan sebenar dunia kewartawanan. Karya yang ikhlas ini digarap dengan penuh hikmah dan jujur yang perlu dibaca oleh para pembaca. Setiap persoalan mampu membuat kita berfikir sejenak tentang persoalan kerja itu sebagai satu ibadah. Penulis turut meletakkan ayat al-Quran dan hadis Nabi bagi setiap pendapat dan persoalan agar para pembaca mengambil iktibar dari pengalaman yang dikongsi. Di akhir kalam, penulis dengan tegasnya menyatakan istilah ‘hamba dunia kewartawanan’ telah beliau buang jauh-jauh dan kini yang wujud dalam lubuk hati beliau hanyalah ‘hamba kepada Allah’.


Print   Email