Pameran ini warisan kita: Kenali Masyarakat Iban Sarawak
29 Oktober 2024 - Pameran “Kenali Masyarakat Iban Sarawak” telah berlangsung dengan meriah di Perkarangan lobi Perpustakaan UMPSA kampus Pekan. Acara ini dianjurkan oleh Unit Perkhidmatan Pelanggan Perpustakaan UMPSA, bertujuan memperkenalkan budaya unik masyarakat Iban kepada pengguna dan khususnya pelajar – pelajar UMPSA.
Antara pengisian menarik pameran termasuk:
1. Poster Peralatan Tradisional: Info dan maklumat berkaitan barangan seperti parang, anyaman tikar “bemban,” jenis masakan dan pakaian tradisional.
2. Info menarik tentang Tarian Ngajat: Tarian yang jarang – jarang dipertonton hanya di majlis tertentu sahaja.
3. Masakan Tradisional Iban: Turut disediakan info menarik tentang masakan dan makanan kepada pelawat.
4. Poster Seni Ukir Kayu: Menampilkan hasil tangan masyarakat Iban yang mahir dalam seni ukiran kayu.
Pameran ini turut disertai oleh beberapa pelajar UMPSA yang berasal dari Sarawak dan berketurunan Iban. Pelawat juga berpeluang mendengar kisah masyarakat Iban yang disampaikan oleh pelajar-pelajar tersebut.
Menurut Clarence Melvin Thomas, pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) yang juga berketurunan Iban dari Sarawak, acara ini sangat bermakna kerana memberikan peluang kepada umum untuk lebih memahami kepelbagaian budaya Sarawak. “Saya harap lebih banyak acara seperti ini dianjurkan untuk mendidik masyarakat”.
Pameran ini diadakan bermula 29 Oktober - 29 November 2024 berjaya menarik lebih 100 orang pengunjung. Pameran “Kenali Masyarakat Iban Sarawak” berjaya mencapai matlamatnya untuk memperkenal budaya dan tradisi masyarakat Iban Sarawak.
Disediakan oleh:
En. Mohd Amirul Mohd Amin,
Pembantu Pustakawan Kanan
Disunting oleh:
Cik Amelia Hasan,
Pustakawan Kanan