Mengurus kompetensi & Pengalaman Pembantu Pustakawan’(Kursus Sijil Pembantu Pustakawan) - 30 Jan 2024

Mengurus kompetensi & Pengalaman Pembantu Pustakawan’(Kursus Sijil Pembantu Pustakawan) - 30 Jan 2024

Pada 30 Jan 2024, Unit Pengurusan Ilmu telah mengadakan sesi perkongsian yang pertama bagi tahun 2024. Dengan tajuk “Mengurus kompetensi & Pengalaman Pembantu Pustakawan (Kursus Sijil Pembantu Pustakawan)”, En. Mohd Fazaldin bin Abdul Latif dan En. Mohammad Hanafiah bin Abd. Aziz telah berkongsi pengalaman mereka semasa mengikuti Program Sijil Pembantu Pustakawan pada 4 hingga 14 September di Perpustakaan Tun Seri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Program perkongsian 2 jam yang bermula pada 10.00 pagi tersebut telah dihadiri oleh 39 orang staf Perpustakaan UMPSA secara fizikal bagi staf di kampus Pekan dan secara atas talian bagi staf di kampus Gambang. Turut hadir dalam sesi perkongsian kali ini adalah Ketua Pustakawan, Cik Hajah Kamariah Gono, Timbalan Ketua Pustakawan BPID (Bahagian Pengurusan Ilmu & Digital), Puan Noorul Farina Ariffin dan Timbalan Ketua Pustakawan BPP (Bahagian Perkhidmatan Pengguna), En. Ahmad Nurudin Abd. Nasir.

En. Mohd Fazaldin telah memulakan program tersebut dengan memberi penerangan mengenai modul-modul yang dipelajari semasa kursus dan tenaga pengajar yang terlibat. Sementara itu En. Mohammad Hanafiah pula menerangkan objektif program Persijilan Pembantu Pustakawan dan diteruskan dengan maklumat asas mengenai Perpustakaan seperti jenis tugas, tugas-tugas am dan khusus bagi setiap unit dalam Perpustakaan.
Image
Image
Antara topik dari modul yang dikongsi adalah mengenai pembangunan koleksi, pengkatalogan, perkhidmatan kaunter serta tugas-tugas asas kepustakawanan.

Modul terbaru yang sedang dibangunkan adalah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT). Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu merupakan kaedah pengesahan kemahiran dan pengalaman dalam melaksanakan tugas di satu-satu bahagian. Pembantu Pustakawan yang terlibat perlu melengkapkan kemahiran dan pengalamannya dalam beberapa bahagian yang wajib bagi mendapat pengesahan melalui pengalaman. Pengesahan penilaian itu akan menjadi sebahagian dari Portfolio Pembantu Pustakawan berkenaan dan perlu memenuhi syarat-syarat PPT yang telah ditetapkan. Dengan pengesahan ini Pembantu Pustakawan tersebut boleh memohon pelepasan dari mengikuti kursus Pembantu Pustakawan Tahap 1,2 atau 3. Sekiranya kemahiran mereka disahkan, mereka adalah layak untuk memohon kursus Pembantu Pustakawan Tahap 4.

Syabas diucapkan kepada En. Mohd Fazaldin dan En. Mohammad Hanafiah atas perkongsian yang diberi dan ucapan Tahniah juga buat mereka kerana telah lulus dengan jayanya peperiksaan yang melayakkan mereka ke tahap yang seterusnya. Bagi yang berminat untuk menonton rakaman perkongsian ini sila layari http://tinyurl.com/mut7p3eh.
Disediakan oleh:


Cik Ratna Wilis Haryati Mustapa,
Super Senior Library Assistant
Disunting oleh:


Cik Amelia Hasan,
Pustakawan Kanan

Print   Email